Tuesday 2 August 2011

HIKAYAT BARSISA

MATI DALAM KEKUFURAN

DIHIKAYATKAN, ada seorang ‘abid (ahli ibadat) yang bernama Barsisa, amat kuat beribadat kepada Allah, sehingga dikagumi oleh para malaikat. Pada suatu hari, Barsisa yang telah mengerjakan ibadat kepada Allah swt. selama dua ratus dua puluh tahun tanpa mengerjakan maksiat itu didatangi oleh iblis yang menyamar sebagai ‘abid juga.
            “Siapa engkau? Apakah tujuan engkau datang menemuiku?” Bersisa bertanya kepada iblis yang disangkanya seorang ‘abid itu.
            “Aku adalah seorang ‘abid. Aku datang hendak menolong engkau supaya lebih kuat beribadat kepada Allah Taala,” jawab iblis.
Sejak hari itu, iblis berpura-pura beribadat tanpa tidur, tanpa makan dan minum selama tiga hari berturut-turut. Hal ini mendapat perhatian dan dikagumi oleh Barsisa.
            “Aku sudah beribadat selama dua ratus dua puluh puluh tahun, tetapi aku makan dan minum. Engkau beribadat tanpa makan dan minum. Aku tak tahan macam engkau,” kata Barsisa. Lalu bertanya, “Bagaimanakah caranya yang harus aku lakukan supaya aku boleh tahan seperti engkau?”
            “Itu mudah saja,” jawab iblis. “Lakukanlah dulu perbuatan-perbuatan maksiat. Kemudian engkau hendaklah bertaubat. Allah Taala pasti akan mengampuni engkau. Betulkah Allah Taala yang Maha Pengampun itu suka kepada orang bertaubat?”
            “Apakah jenis maksiat yang sebaik-baiknya aku lakukan?” tanya Barsisa lagi. Dia sudah termakan cakap iblis itu.
            “Berzina atau membunuh orang,” jawab iblis tegas. “Tidak, aku tidak sanggup melakukan perbuatan-perbuatan maksiat seperti itu” ujar Barsisa, tegas juga.
            “Kalau begitu, engkau minum arak saja. Lebih mudah,” iblis memberi cadangan seterusnya. Bersisa bersetuju dan terus membeli arak lalu diminumnya tanpa ragu-ragu lagi. Penjual arak itu adalah seorang wanita yang cantik. Apabila mabuk, Barsisa melakukan zina dengan wanita penjual arak itu. Seterusnya, supaya rahsianya itu tidak bocor, wanita itu dibunuhnya.
            Iblis datang pula. Kali ini dia menyamar sebagai manusia biasa pula. Barsisa ditangkapnya kerana melakukan perbuatan maksiat dan jenayah itu, lalu diserahkannya kepada Sultan. Setelah didapati sabit kesalahannya, Barsisa dikenakan hukuman sebat lapan puluh kali kerana minum arak, seratus kali lagi kerana berzina dan dipasung ke sebatang kayu kerana membunuh.
            Ketika Barsisa menjalani hukuman pasung itu iblis datang menemuinya dengan wajahnya sebagai ‘abid pula.
            “Bagaimana keadaan engaku?” tanya iblis. “Beginilah nasib yang mengikut kata kawan yang jahat,” jawab Barsisa dengan perasaan kesal. “Tapi sekarang kalau engkau mahu, aku boleh tolong engkau,” ujar iblis pula. “Kalau betul engkau boleh menolong aku, tolonglah lepaskan aku daripada kayu pasung ini. Tolonglah sekarang!”
            “Aku boleh tolong engkau. Memang aku datang ini hendak menolong engkau. Tetapi terlebih dahulu, engkau mesti memenuhi satu syarat.”
“Apakah syarat itu?” dengan segera Barsisa bertanya. “Dengan sujud kepadaku,” jawab iblis. “Bagaimana aku hendak sujud kepadamu dalam keadaan aku terpasung di kayu begini?”
            “Tak apa, engkau isyaratkan saja dengan menggerakkan sedikit kepalamu. Sudah cukup.” Kerana terlalu mengharapkan pertolongan iblis itu supaya melepaskannya daripada seksaan itu, maka Barsisa segera menggerakkan kepalanya memberi isyarat, bahawa ia sujud kepada iblis yang disangkanya kawan itu. Dengan itu, serta merta dia menjadi kufur.
            “Sekarang urusanku sudah selesai. Engkau sudah menjadi kafir. Inilah saat yang aku tunggu-tunggu. Aku tidak mahu masuk campur lagi hal engkau. Aku takut kepada Allah,” ujar iblis, lalu meninggalkan Barsisa yang hampa menemui ajalnya itu. Barsisa mati sebelum sempat bertaubat.. A’uzubillah.
            Peristiwa ini menjadi ikhtibar kepada kita. Sedangkan Barsisa, seorang ‘abid yang telah melakukan ibadat kepada Allah Taala selama dua ratus dua puluh tahun akhirnya kecundang juga oleh tipu daya iblis. Selagi manusia itu bernyawa, akan sentiasa terdedah kepada godaan, tipu muslihat golongan iblis. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah Yang Maha Besar.
Ujian daripada Allah S.W.T sentiasa ada kepada hambaNya sebagai mengukur kekuatan iman hambaNya samada rasa syukur atau kufur kepadaNya

No comments:

Post a Comment