Tuesday 28 February 2012

Pengalamanku Operasi Tiga dalam Satu (Penglaman menawan komunis)

Pengalamanku Operasi Tiga dalam Satu (Penglaman menawan komunis)
Masih aku teringat samar-samar operasi yang aku lalui bersama Kompeni C dan seluruh Batalion 1 PPH sekitar tahun 1979 pabila kami diarahkan melaksanakan operasi UKUR, TOPO dan operasi 79Alpha di sempadan Malaysia/Thailand iaitu 3 operasi sekali. Tempat sebenar lokasi operasi aku masih samar-samar di sempadan Malaysia/Thailand tugas UKUR/TOPO dan operasi 79Alpha. Kepada sesiapa yang mengetahui lokasi dan nama operasi sila maklumkan untuk tujuan catatan koleksi sejarah PPH.
Ops Ukur
Mulanya operasi yang kami ditugaskan ialah eskot keselamatan petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan sempadan Malaysia/Thailand. Tugas eskot keselamatan petugas Jabatan Ukur memang meletihkan, sebab disamping menjaga keselamatan kami terpaksa berjalan mendaki bukit batu hanya membantu mencari batu sempadan Malaysia/Thailand. Rasa lega dan hilang rasa penat lelah bila batu sempadan yang di cari dijumpai. Ada yang mengambil kesempatan bergambar di batu sempadan Malaysia/Thailand tapi kami sentiasa waspada kerana dibawah batu sempadan itulah paling popular komunis menanam bom jerangkap samar! Setelah batu sempadan dijumpai kami berpatah balik ke base dan akan di sambung semula tugas yang sama di lokasi lain pada keesokkan harinya tapi di ganti oleh anggota yang lain pula. Entah berapa lama aku bertugas operasi UKUR, aku kurang pasti tapi yang ku ingat Kompeni C diarahkan berpindah ke lokasi lain pula.
Ops TOPO(Tidak pasti nama operasi)
Kali ini base kami dipuncak bukit, tingginya sama paras dengan pucuk pokok balak ditengah hutan belantara. Kerana ketinggian base kami tu minyak masak menjadi beku, tanah base kami sentiasa basah berbecak. Setiap sudut bumbung base tergantung bekas plastik ration untuk tadahan air khusus untuk membasuh sisa makanan. Kabus tebal menyelubungi base sehingga terasa titisan air di muka aku. Air minuman menjadi sukar terpaksa berjimat. Kami terpaksa menuruni bukit selepas sarapan dengan membawa bersama pack lunch dan 3 jerikin dalam pack besar. Mendaki semula ke base waktu dah masuk waktu petang. Kami hanya turun mengambil air 3 hari sekali. Memang tak larat memikul 3 jerikin dalam pack, sebelah tangan 1 jerikin dan sebelah tangan lagi senjata. Bila naik mendaki lutut dah hampir bercantum dengan dagu!! Aduh mak terasa peritnya tika itu..aku terkenangkan ibubapa dan adik-adikku tapi kesusahan yang ku tanggung ini mengajar aku bersyukur nekmat yang aku ada sekarang.
Pagi itu cuaca terang, sejuk dan tidak berkabus. Kami sedang standby menunggu heli membawa kami ke lokasi operasi lain. Sudah 2 hari kami terdengar bunyi heli tapi heli terpaksa berpatah balik kerana kabus terlalu tebal dan sukar membuat pendaratan. Harap-harap hari ini tuah memihak kepada kami. Aku sedang menikmati sarapan pagi kegemaranku..maggie!!. Tiba-tiba sayup-sayup terdengar bunyi heli. Dari jauh aku nampak titik hitam seperti agas terapung-apung..heli dah datang!! Teriak rakan sebelah aku. Lantas aku dan teman-teman yang lain mengemas barang-barang kami. Harap-harap hari ini kami boleh keluar dari tempat ini. Dah tak larat nak memikul jerikin air…tak larat nak intai-intai ular kapak sebelum tidur..!!!
Kami turun di suatu tempat kawasan luas hampir dengan kilang gula. Aku tak berapa ingat nama tempat itu. Mungkin Padang Terap atau Padang Senai Kedah. Aku lihat sudah ada teman-temanku dari kompeni lain berkeliaran di kawasan lapang heli mendarat. Aku jugak dapat melihat ramainya askar-askar di kawasan lapang itu. Kata salah seorang askar itu mereka standby heli bawa mereka masuk Ops Gubir!! Kata mereka kawasan Ops Gubir adalah kawasan yang aktif dengan ancaman komunis dan jerangkap samar! Sama dengan Ops Kota Echo untuk PPH. Suasana di kawasan itu bising dengan bunyi heli-heli yang silih berganti menurunkan penumpang dari anggota PPH, askar dan jugak orang awam. Macam filem perang Vietnam dalam t.v rasanya.
Ops 79Alpha
Aku tidak berapa ingat lokasi tempat ini, yang aku tahu Kompeni aku sedang standby diMartak Army ATM. Malam itu hujan renyai-renyai. Kesibukan suasana diMartak jelas terlihat dengan askar-askar berponco berlari anak menuruti arahan. Lori tentera dan polis saling melintas membawa muatan dan infantry. Aku tersenyum sahaja melihat ‘orang lama’ sedang berborak memujuk petugas di khemah tertulis nama ‘PERNAMA’. Aku dan rakan-rakan sedang standby panggilan ‘general roll-call pukul 2 pagi.
Diluar khemah kami hujan masih  turun jelas ku lihat rintik-rintiknya dibawah sinaran deretan mentol lampu di luar khemah. Semboyan general-roll- call berbunyi kami mengambil tempat masing-masing. Apa yang dapat ku dengar arahan yang disampaikan ialah Bn. 1 PPH akan berangkat masuk ke bumi Thailand membantu polis Thailand. Pagi yang berhujan, aku terdengar sorang membaca doa selamat.     “ Ya, Allah, ya Tuhan kami, dengan namaMu yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Kau lindungi barisan pasukan keselamatan ini yang akan berangkat bertugas di Thailand, semoga mereka ini selamat pergi dan selamat balik. Aku mengaminkan doa-doa itu tidak ku sedar menitis air mataku seperti titisan air hujan turun  pagi itu. Entahkan selamat sepanjang bertugas nanti aku hanya bertawakal pada Allah. Bacaan doa selamat mengakhiri perhimpunan pagi itu. Aku dan rakan-rakan bergegas menaikkan barang-barang kami atas lori. Konvoi Bn. 1 PPH bergerak menuju ke lokasi yang telah diarahkan. Hujan masih lagi turun. Aku dah tak kisah pakaianku lenjun basah yang penting pack aku tidak basah kerna pocho ku gunakan untuk membalut pack. Aku kesujukkan atas lori. Memang terasa sejuk sampai ke tulang terkena angin pulak. Lori terus menyusur laju di malam yang gelap pekat. Aku melihat konvoi lori berpecah masuk jalan simpang. Tidak berapa selepas itu diikuti satu konvoi membelok masuk jalan lain. Cuaca beransur cerah ketika lori membelok masuk jalan ladang getah. Konvoi terakhir terus meluncur melintasi konvoi kami. Keadaan jalan tidak mengizinkan kami duduk kerana kami bagaikan dilambung terhentak kerana jalan tidak rata. Jalan ladang getah semakin sempit dan akhirnya kami terpaksa turun kerna lori tidak mampu mendaki bukit disebabkan jalan licin. Arahan OC Kompeni kami dikehendaki bergerak masuk ke dalam ladang getah sebelum kami berhenti rehat untuk sarapan pagi. Semasa sibuk membuat sarapan pagi aku tak sedar bila masa sekumpulan Polis Thai (Thai Tamrok) bersama kami.  Kami teruskan perjalanan melalui trek ladang getah di ketuai oleh Thai Tamrok. Aku melihat sekeliling ladang getah seperti tempat asing bagiku, tidak sama keadaannya seperti ladang getah dikampungku. Akhirnya baru aku sedar yang aku sudah ada dibumi Thailand. Tergelak sinis dalam hatiku sampai jugak aku ke overseas!! Kami berehat lagi seketika di tanah tinggi. Dihadapan aku kawasan lapang dan nun jauh dibawah bukit ada sebuah teratak, tidak ada lagi pokok getah. Penat rasanya memikul pack yang berat padat dan ada ‘treler’ lagi. Dalam pack itu..disitu lah rumah aku, dapur/makanan dan almari/ pakaian aku. Akan terus pikul beban itu kemana juga kaki aku melangkah pergi kerna dah terpaksa! Sedang aku rehat bersandar di pack tiba-tiba aku terdengar jeritan…”Bandit…bandit..jing..jing!!! Aku terpinga-pinga seketika dan sepantas itu jugak aku terdengar letusan dan tembakan rifle dari arah belakangku. Keadaan ketika itu jadi gawat, platun dibelakang terus menembak dan aku yang berada di hadapan terus meniarap ‘take-cover’ sama dengan yang lain...
O. C beri arahan berhenti tembak. Dilapurkan Polis Thai telah terlihat 2 anggota komunis lelaki dan perempuan sedang bercakap dengan orang kampung di pondok kebun. Anggota Polis Thai sudah berada di pondok sedang bercakap dengan penghuni pondok. Aku bersama dengan rakan-rakan terus berkejar menuju ke arah Polis Thai tadi. Rakan-rakan yang lain diarahkan stand-to atas bukit menjaga pack kami.

Kami dimaklumkan oleh Polis Thai 2 orang komunis itu sedang menjalankan misi propaganda seperti mana dikatakan oleh penghuni pondok itu. Penghuni pondok itu menunjuk arah 2 orang komunis lari ke kawasan semak lalang. Sarjan Platun aku mengambil alih tanggungjawab memburu 2 orang komunis. Sarjan memberi taklimat ringkas kepada seksyen komander. Kami dipecahkan dalam kumpulan kecil dan bergerak berjarak dapat dilihat antara kami.

Aku bersama 5 rakanku bergerak menuju ke kawasan kebun. Dihadapan aku hutan lalang. Kami berhenti sebentar. Tiba-tiba aku terdengar jeritan Platun Sarjan memberi arahan..”mara…mara”.  Bahuku dipegang oleh koperal ketika kaki aku mula nak bergerak. Katanya itu adalah tektik supaya komunis itu bergerak keluar dari dalam kawasan lalang. Lagi pun tidak selamat masuk dalam semak lalang itu kerna tidak ada perlindungan katanya lagi. Aku akur nasihat itu.

Kami menunggu. Sebentar kemudian kami mula bergerak di tepi kawasan lalang. Aku terjumpa topi(cap) komunis warna kelabu kekuningan ada logo bintang 3 warna merah. Topi itu terselit dicelah-celah batang lalang. Aku lantas mengambilnya dan simpan dalam poket kakiku.

Tiba-tiba terdengar jeritan sarjan….‘Bandit dah keluar! Mara-mara!! Kami lantas berlari ke arah suara itu dan kami bersatu semula disimpang 2 trek. Kami berpecah semula, sarjan bersama yang lain ikut trek kiri dan aku bersama Koperal ikut trek terus ke hadapan. Sambil berjalan sarjan berpesan kepada kami  ‘jangan lupa password..cabar password!! Kami terus bergerak laju, dihadapan orang lama(arwah) laju mendahului kami mencari jejak  komunis. Ditangannya tergenggam sebutir bom tangan.

Langkah kami terhenti kerna ada sebatang tali air dalamnya sejengkal. Kami perhati sekeliling mengesan tapak kasut komunis. Kesan tapak kasut masih baru kerna tanah becak. Kami perhati sekeliling semak. Tiba-tiba suara orang lama menjerit…‘komunis!! Keluar…keluar..nanti aku baling grenade ini!!  Aku berpusing ke belakang, alangkah terkejutnya aku, komunis lelaki itu berada dibelakang aku sedang menyorok dicelah-celah semak samun. Lantas kami take-cover down sambil menghalakan senjata ke arah komunis itu. Komunis itu lantas mencampakkan senjatanya dan berjalan keluar dengan kedua belah tangan diatas kepala. Koperal sepantas kilat meluru dan menangkap komunis tadi dan dibantu segera oleh kami.

Polis Thai datang buat soal jawab. Sambil itu aku melihat orang lama sedang mencari-cari sesuatu ditanah becak berhampiran tali air. ‘Cari apa tu bang’ tanya aku. ‘Pin grenade’ jawabnya ringkas. Tangannya masih lagi erat menggenggam hand grenade. ‘Abang cabut pin bila nampak bandit tadi..tak sedar kat mana abang buang pin.’ Ceritanya sambil mencukil tanah lembik itu. ‘Stand-to la kau malam nanti’ celah koperal. Akhirnya pin hand grenade dijumpai. Kami bawa komunis itu balik semula ke tempat kami berehat tadi.

Hari pun dah petang. Bimbang jugak malam nak sentry komunis, bimbang berplatun komunis lain akan datang. O.C sibuk dalam set melapurkan kejayaan menawan 1 komunis dan meminta bantuan untuk membawa komunis keluar. Aku pula bersibuk wawancara broken english dengan komunis tadi. Rupanya komunis tui adalah seorang pelajar dari universiti Bangkok. Mereka terpengaruh dengan dakyah komunis semasa rusuhan pelajar-pelajar universiti di bandaraya Bangkok suatu ketika dahulu. Mereka di letak di bawah unit propaganda kerna genius mereka! Aku selongkar pack komunis itu, packnya sama dengan beg poncut hitam yang dibekalkan masa di depoh KL.

Di dalam pack itu banyak terdapat risalah-risalah propaganda komunis. Gambar-gambar komunis dalam ‘kem’ menceritakan mereka adalah pasukan yang mampu berkuasa memerintah. Gambar mereka meraikan hari ulang tahun komunis berkawad dengan senjata. Aku mengambil 2 keping gambar untuk kenangan tapi sebelum balik kem Ulu Kinta topi dan 2 keping gambar telah hilang dari simpanan aku! Tidak lama kemudian terdengar bunyi heli datang. Bunyi heli macam bunyi bot tongkang dan aku kenal sangat bunyi itu tandanya heli siam sudah mali. Heli itu ‘hover’ hampir ke lereng tanah dan krewnya memberi signal supaya membawa komunis itu dengan segera.

Lega rasanya bila komunis itu telah diterbangkan. Kami teruskan perjalanan meninggalkan tempat tadi dengan kadar seberapa segera. Walau apapun kami sentiasa berhati-hati bimbang bandit perempuan yang terlepas lari tadi buat counter attack dengan membawa lebih ramai ahlinya menyerang kami. Arah tuju kami ialah C.T Camp ‘Khau Nang Kang’! Kem komunis yang dikhabarkan paling kebal. Kompeni C hanya ditempatkan dipinggir C.T Camp. Sebelum sampai kompeni telah berpecah. Platun aku bersama Polis Thai ditempatkan tidak jauh di bawah bukit yang diatas bukit itu terletak Markas dan unit meriam.

Sebelum masuk ke tapak base Pln Komander beri arahan buat pembersihan terlebih dahulu. Kami buat ‘proding’ setiap langkah memastikan setiap inci tanah dibase, laluan ke water-point dan pondok jamban itu bebas dari bobby-trap! Selepas masing-masing siap buat khemah kami pasang tali parimeter sekeliling sempadan base, siap dengan sermuly flare dan clay more di lokasi yang sesuai. Sementara Polis Thai berkhemah di bawah rumah kosong yang ditinggalkan berhampiran dengan base kami. Sedang kami stand-to malam, Polis Thai pula buat ‘camp-fire’! Ya Allah..apinya besar boleh kenal setiap orang Polis Thai itu. Langsung tak ada disiplin Polis Thai ini. Aku sempat berkenalan dengan seorang Polis Thai berpangkat sarjan. Kumpulan Polis Thai ini tak ada yang berpangkat ‘konstabal atau koperal’. Pangkat Sarjan Mejar 1 orang dan yang lain berpangkat sarjan. Aku tertarik dengan uniform ‘wes moulen’(maaf tak tahu ejaannya) yang ada gambar gajah dan bendera negara Thailand. Kain baju dan seluarnya tebal dan coraknya cantik. Sementara Polis Thai ini berminat dengan uniform hijau aku, katanya dia nak pakai masa meronda masuk kawasan Pattani! Kami buat rondaan jarak dekat sekeliling base kami.

Aku jadi terkejut tiba-tiba terdengar bunyi tembakan meriam dari atas bukit dan dalam beberapa saat tersengar desingan peluru bom melalui atas base kami dan dalam sesaat itu aku terdengar ledakan bom jauh di gunung CT Camp. Tembakan meriam mula bertubi-tubi siang dan malam, dan setiap tembakan dilepaskan bermakna setiap butir meluru meriam melintasi atas base kami. Kekadang jet pejuang(F5E kalau tak silap) kita melintasi atas base kami menggugurkan bom. Kini giliran aku pulak buat rondaan. Kali ini rondaan jarak jauh. Aku tersenyum memandang ‘rakan’ Thai ku turut bersama dalam rondaan pagi ini. Kami sama-sama memberi isyarat janji menukar uniform selepas rondaan nanti. Aku tertarik melihat jam tangan digital yang dia pakai. Masa tu aku belum terjumpa jam jenis digital di Ulu Kinta. Kami pun menambah satu lagi koleksi tukar jam tangan.

Jauh juga kami buat rondaan ikut trek melalui celah-celah hutan. Banyak jugak kami jumpa tanda-tanda komunis seperti riben merah diikat melilit batang pokok. Mungkin itu tanda sempadan. Ada juga kami terjumpa bekas tapak rehat komunis bumbungnya diperbuat dari daun-daun disusun rendah. Kami teruskan rondaan balik semula ke base mengikut trek lain pula. Tiba-tiba aku terdengar bunyi bom meletup dihadapanku. Tanah trek bertabur jatuh dari atas mengenai kepalaku. Aku tidak nampak siapa yang ‘kena’ kerna situasi trek berbelok ke arah kiri dan dilindungi pula pokok-pokok. Kami terus ambil situasi stand-to luar trek. Aku dimaklumkan ‘rakan’ku terkena jerangkap samar. Kecederaannya patah kaki dan cedera parah kedua belah matanya. Hatiku sayu hiba. Walaupun perkenalan kami singkat tapi aku dapat merasai sopan dan baik budi pekertinya. Macam mana boleh ada bobby trap di trek tanahnya keras dan tidak ada tanda-tanda langsung kehadiran bobby trap. ‘Rakan’ aku terus di bawa keluar oleh heli Siam. Sementara rakan-rakan lain yang duduk di bawah rumah malam itu tidak kelihatan ungun api. Sedih agaknya.

Sampai masanya Platun 11 ditukar ganti oleh Bn lain. Pagi itu aku menunggu kedatangan pengganti. Dari jauh di trek sebelah LP terpandang oleh aku anggota PPH berjalan menuju ke arah base kami. Akhirnya setelah selesai taklimat serah menyerah tugas, platun 11 bergerak menuju ke Martak atas bukit. Sampai kami di Martak menunggu lagi platun-platun Kompeni C sampai. Setelah semua platun Kompeni C sampai baru lah Kompeni C bergerak berkonvoi dengan lori terus balik ke Kem PPH Ulu Kinta. Alhamdulillah…!!

Monday 20 February 2012

Kursus Asas PPH di Ulu Kinta Perak

Tren Express dari Kuala Lumpur singgah di stesyen Tanjung Rambutan. Aku bersama skuad 5/78 seramai 48 orang turun dengan beg dan barang-barang kami. Di seberang jalan sudah beratur 4 kenderaan lori polis menunggu kami. Tidak ramai ahli skuad saya kerana sejak lapor di Dewan Pengaman PULAPOL Kuala Lumpur pada 17/7/1978 sudah ramai yang menarik diri pabila dimaklumkan pengambilan pelatih kali ini adalah untuk cawangan PPH, malah siap dibahagikan Bn-Bn Lagi. Ada juga kedengaran cakap-cakap jurulatih menakut-nakutkan kami akan ancaman komunis tapi itu tidak melunturkan semangat kami. Kenderaan lori sampai dihadapan Drill Shed Markas PPH Ulu Kinta Perak.Kami diarahkan menyusun 'double decker' mengikut jumlah keperluan kami. Nama aku didaftarkan dalam Bn. 1 PPH bersama 24 pelatih dan 24 pelatih lagi untuk Bn. 2 PPH. Walaupun sudah menjadi anggota Bn. 1 dan 2 PPH tapi kami 'disimpan' sementara didalam Drill Shed selama hampir 3 bulan lamanya kerana kami belum ada 'lesen' sebagai seorang anggota infantri sebab belum hadir kursus asas PPH. Sedangkan waktu itu tugas PPH amat mencabar menghadapi cabaran ancaman komunis. Selain itu SLPPH paling sibuk menjalankan kursus asas PPH untuk pelatih pegawai/anggota regular dan jugak untuk pelatih senoi praq. Pagi siang dan malam suasana riuh rendah bising datang dari pelatih-pelatih yang sentiasa bergerak berlari anak menjalankan aktiviti masing-masing.Suara para jurulatih sentiasa segar dan keras memberi arahan kepada pelatih sendiketnya(platun). Tidak nampak pulak pelatih senoi praq di sekitar drill shed itu kerna aku ingin sendiri melihat orang asli.Khabarnya waktu itu sedang menjalani latihan luar di Pasir Panjang dan khabarnya jugak kami akan ke sana tidak berapa lama selepas ini untuk menjadi 'sentry' kawasan latihan di Pasir Panjang. Selama tempoh hampir 3 bulan kami berpindah randah dari drill shed 1 ke drill shed 2 bagitu lah sebaliknya kami disajikan pelbagai latihan (bukan asas PPH). Latihan larian 2.4 ke bukit rumah komander dan mess pegawai kanan adalah sebagai sarapan pagi kami tiap-tiap pagi. Selain itu latihan merentas desa, pikul kayu balak, rentas halangan, menembak senjata ringan dan berat, enoklasi, jalan lasak, shoot to kill dan lain-lain latihan semuanya kami lakukan dengan jayanya. Tidak hairan lah apabila skuad 5/78 bercantum semula di SLPPH untuk menjalanlan kursus asas PPH, sendiket kami mendapat keputusan yang terbaik dan ia menjadi topik 'goreng pisang panas' oleh para jurulatih. Hari ini aku menghitung hari untuk bersara pilihan sendiri.Aku akan bersara pada 28/3/2012. Hampir 34 tahun aku dalam Bn. 1 PPH/PGA. Segala pengalaman manis pahit, baik buruk menjadi asam garam dalam hidupku.Terima kasih kepada semua para jurulatih SLPPH termasuk Komandan serta staff yang telah mendidik aku menjadi seorang pelatih yang berdedikasi, aku dengan rasa terharu mengucapkan terima kasih jugak kepada C.O/O.C/Pegawai/JPO serta rakan-rakan(orang lama) Bn. 1 PPH yang telah menunjuk ajar pantang larang sepanjang bertugas dalam operasi sehingga aku dengan izin Allah SWT terselamat dari semua musibah dalam operasi. Masih aku ingat, sarjan aku cedera parah kakinya terkena jerangkap samar, masih aku ingat platun aku hampir termasuk dalam ambush komunis, tidak lupa aku bersama rakan-rakan bertempur dan menawan seorang komunis dibumi Siam, masih terbayang jelas sahabat aku 'Thai Tamrut' terkena jerangkap samar dihadapan aku dan masih aku tidak lupa berjalan gersang merendah hutan berbukit bukau dan kuyup di lembah sungai berbatu jauhnya berpuluh MSQ di bulan Ramadan hanya kerana mahu pulang berhari raya di kampung. Aku rindu semuanya itu dan akan terus merindui suasana itu selepas aku bersara kelak kerna aku lebih rela bertugas beroperasi di hutan berbulan walaupun ada ancaman keselamatan. Terima kasih.

Tragedi Berdarah Ops Kota Echo

 Sudah 2 hari Kompeni C Bn. 1 PGA standby di Martak Kg Lalang Baling Kedah. Ledakan meriam dari arteleri ATM masih dapat ku dengar jelas. Sasarannya adalah di kawasan Sub-Tak PPH yang telah ditinggalkan sejak lama. Sub-Tak itu lah nanti Kompeni C akan pergi dan akan dijadikan Sub-Tak Kompeni C Bn. 1 PGA. Siang dan malam bunyi ledakan meriam ku dengar sehinggakan bunyinya itu tidak lagi mengganggu kami. Dari cerita kawan-kawan sebab bedilan meriam disasarkan ke arah Sub-Tak itu ialah untuk mengusir komunis dan meletupkan jerangkap samar dalam kawasan Sub-Tak itu. Pagi suasana di Martak sunyi sepi dari bedilan meriam. Arahan dari PP Medan Bn. 1 PPH arahkan Kompeni C segera ke lokasi Sub-Tak. Kami berpusu-pusu menaiki trak polis yang tersedia standby membawa kami nun jauh dihujung kampung. Platun 11 diarahkan berjalan dahulu menuju ke lokasi Sub-Tak. Misinya ialah membersih trek-trek sepanjang 10MSQ ke lokasi Sub-Tak supaya bebas dari jerangkap samar dan juga sebagai cut-off party 4 orang infantri berjarak setiap 50 meter sepanjang laluan trek ke Sub-Tak didalam hutan tebal. Pergerakkan kami terhenti dan dihadapan kami terdapat sebuah titi gantung merentasi sebuah sungai.Melihat dari sudut keselamatan dan muka bumi, titi gantung itu tidak menjaminkan keselamatan kami hendak menyeberangnya. Disingkap semula sejarah lama ramai anggota pasukan keselamatan gugur terkena ambush komunis ketika sedang menyeberangi sungai melalui titi gantung itu. Platun Sarjan arahkan kami berhenti berhampiran titi gantung. Berbincang dgn Pln Komander dan Seksyen Komander cara taktikal yang selamat hendak menyeberang melalui titi gantung itu. Tidak ada laluan lain lagi hanya titi gantung itu saja lah laluan hendak seberang sungai itu. Arahan Martak Kompeni C mesti sampai di Sub-Tak sebelum 1700hrs jika gagal dibimbangi komunis akan masuk semula dan memasang jerangkap samar. Platun Sarjan menoleh kearah aku, memanggil aku dengan isyarat tangan bersama dengan 2 orang anggota platun. Kami diarahkan menyeberang titi gantung. Andainya kami selamat sampai di hujung seberang sana kami dikehendaki buat ‘clearance’ sekitar sebelum memberi isyarat selamat kepada yang lain. Aku orang yang ketiga melalui titi gantung itu. Aku gagahi jua langkahku…memerhati ke hadapan semak dan hutan hujung titi dengan iringan doa semoga aku dan rakanku dihadapan tidak dihujani dengan peluru!! Aku faham situasi ini dan aku terima. Strategi Pln Sarjan biar mati bertiga daripada mati satu platun!! Akhirnya aku sampai jua. Setelah selesai buat ‘clearance’ kami memberi isyarat ‘selamat’ kepada Kompeni C. Aku terus berjalan melalui trek lama dan ada jugak ’buka’ trek baru kerana trek lama sangat meragui keselamatannya. Kami tidak punya masa buat proding. Aku terasa setiap inci bumi yang ku pijak bagai bahang haba, panas!!!, Mataku sesekali melihat ke bawah bimbang kaki ku terpijak benda asing!!! Pergerakkan kami sangat tektikal dan berdisiplin sekali. Saat tika itu sesiapa pun menyerahkan takdir nasibnya kepada Allah SWT agar kedua-dua kakinya terselamat dari tercedera oleh jerangkap samar. Semua anggota Platun memberi kerjasama total demi keselamatan diri. Akhirnya aku sampai jua di lokasi seperti yang diarahkan. Sayu rasanya melihat bekas tapak base yang ditinggalkan amat sedih dan jugak mengerikan. Arahan O.C Kompeni supaya kami membuat ‘clearance’ keselamatan sebelum boleh bergerak bebas dalam tapak base lama itu. Platun 11 dan Plantun 12 diarahkan berpengkalan atas bukit ‘base’ untuk menjaga keselamatan ‘LZ/LP’ sementara Platun 9 dan 10 berpengkalan dibawah base mengawal keselamatan ‘water-point’. Bermulalah tugas kami membuat rondaan jarak dekat dan jarak jauh disamping membuat ‘serangan hendap musuh’ dikawasan sekitar Sub-Tak. Rondaan keselamatan harian wajib bagi kami. Semasa membuat rondaan aku terpandang sebuah base lama telah ditinggalkan lama dulu. Kedudukan base itu ialah dibawah kaki lereng bukit. Seksyen Komander memaklumkan kepada kami itu adalah bekas base PPH yang telah diserang hendap oleh komunis. Ramai rakan-rakan PPH terkorban termasuk Pln Komandernya dibunuh dengan kejam! Pagi esoknya kami bersiap sedia buat ronda jarak dekat membantu Platun 12 yang telah keluar buat rondaan jarak jauh sejak semalam.Aku bersama 7 orang rakan mengiringi Platun Sarjan melangkah keluar dari Sub-Tak menuju ke lokasi Platun 12. Misi kami adalah sebagai pasukan back-up kepada Plantun 12 dalam kedudukkan hampir 1 MSQ. Hari dah masuk petang. Platun Sarjan arahkan kami berehat untuk persiapan makan petang dan mendirikan base tidur. Aku mengambil giliran sentri pertama sementara rakan-rakanku sibuk membuat persiapan. Setengah jam kemudian aku diganti dan terus saja aku memasang khemah tidur ‘ground-base’ tinggi khemahnya pada paras peha sama dengan rakan-rakanku. Tujuannya supaya tidak mudah dilihat oleh musuh. Makan malam kami hanya biskut ration dan air teh sejuk dalam water-bottle. Sangat merbahaya menyalakan api memasak dan bau masakan boleh dihidu oleh musuh. Kami mula masuk tempat stand-to walaupun jam tika itu baru 1730h. Tiba-tiba rakanku memberi isyarat stand-down dan segera berkemas balik ke Sub-Tak. Arahan O.C kompeni memanggil kami balik kerana Platun 12 telah balik ke Martak kerana eskot Platun Komander yang ayahnya telah meninggal dunia. Esok paginya sedang aku bersarapan tiba-tiba aku terdengar suara berteriak ‘Bandit, bandit..!!! datangnya dari arah hutan yang kami tinggalkan semalam. Diikuti bunyi tembakan rifle bertubi-tubi. Kami yang sedang bersarapan lantas mencapai senjata dan mengambil kedudukan stand-to. Bunyi tembakan masih kedengaran, aku terdengar dengan jelas suara bahasa cina menjerit..(terjemah dalam bahasa melayu..1..2..lari!!!) suara itu berulang tiga kali. Pertempuran hebat masih berlaku, tembakan rifle m16, letupan bom tangan, jerangkap samar’ mengisi suasana kesunyian pagi tu..memang hebat..aku lantas terfikit..hanya mereka yang miliki ilmu peperangan dan punyai disiplin mampu bertahan dan menang dalam pertempuran ini. Suara ‘mara…mara…’ dari rakan-rakan yang sedang bertempur itu jelas ku dengar..semangatku serta rakan-rakan tiba-tiba naik. Kami meminta izin membantu tapi dihalang oleh Platun Sarjan kerana dalam situasi begini bimbang kehadiran kami disalah anggap oleh rakan-rakan disana sebagai musuh! Bedilan senjata M16 dan ledakan bom tangan masih lagi kedengaran. Jeritan ‘mara..mara….’ dari semua rakan-rakan disana menyakinkan kami pertempuran ini memihak kepada pasukan PPH!!! Kemudian suasana menjadi sepi, kami menunggu dengan hati yang berdebar. Aku memandang ke langit memohon doa semoga semua rakan-rakanku yang sedang bertempur di sana terselamat. Setengah jam kami stand-to menunggu akhirnya arahan dari O.C Kompeni mengarahkan Platun 11 pergi ke lokasi pertempuran memberi bantuan. Kami dimaklumkan semua rakan-rakan Platun 12 terselamat. Menitis air mataku kerana gembira. Kami pun melangkah keluar menuju ke lokasi Platun 12. Kami mendaki lereng bukit melalui trek yang kami lalu semalam. Kemudian kami terdengar suara rakan-rakan dari Platun 12 menyambut ketibaan kami dalam jarak 20 meter. Ada suara yang meminta kami mengambil jalan trek di lereng bukit, jangan lalu ikut permatang. Tiba-tiba aku terdengar bunyi letupan bom yang sangat kuat! Jerangkap Samar sudah ‘menuntut’ mangsanya yang pertama!! Kami terdiam seketika. Kami berbisik sesama sendiri meneka siapa yang terkena!! Platun Sarjan 11 sudah terkena jerangkap samar!! Ya Allah..luruh seluruh semangatku..perasaan sedih terpamir dalam wajah kami. Aku yang berada di kedudukan belakang mara segera memberi bantuan. Aku melihat kaki sarjanku luka parah. Bau hanyir darah menusuk dalam hidung aku. Kami segera memotong dahan kayu untuk jadikan batang strecher, anggota Platun 12 menghulurkan hammock. Segala gerak kerja kami tadi dilakukan dengan penuh hati-hati supaya tidak ada lagi yang terkena jerangkap samar. Platun Sarjan yang tercedera tadi dibaringkan atas strecher lantas segera dibawa keluar ke Sub-Tak untuk diterbang ke hospital. Aku bersama rakan-rakan yang lain ditugaskan membuat pembersihan kawasan pertempuran.Jelas sekali lokasi pertempuran tadi benar-benar berlaku diatas tapak khemah kami semalam! Kami terjumpa setiap pangkal pokok tertanam bom jerangkap samar yang boleh diletupkan dari jarak jauh. Strategi komunis ialah akan membuat ambush terhadap kami. Komunis hanya perlu melepaskan tembakan rambang dan pastinya kami akan mara dan mengambil perlindungan disebalik pangkal pokok. Bayangkan lah apa yang bakal terjadi pada tubuh kami?? Bertuahnya kami mempunyai OC Kompeni yang beramal soleh tentu mempunyai firasat terbaik untuk anggota bawahannya.Ceritanya begini..semasa Platun 12 keluar eskot Platun Komander, kekosongan base Platun 12 segera diambil alih oleh kumpulan komunis. Masa kami sedang membuat persiapan bermalam, komunis pula sibuk memasang bom jerangkap samar. Mereka hanya menunggu mentari terbit untuk ‘ambush’ kami. Tapi dengan kuasa Allah kami telah keluar dari lokasi pada petang itu. Pergerakan kami keluar tidak diketahui oleh musuh komunis. Esok paginya sedang asyik komunis memerhati kedudukan kami tiba-tiba muncul anggota Platun 12 dari belakang. Anggota rikki terpandang seorang komunis yang asyik memandang ke hadapan langsung tidak menyedari kehadiran anggota Platun 12 dibelakangnya. Maka bermula lah pertempuran dengan jeritan pertama ‘bandit…bandit’!! Ini adalah antara kisah dan pengalaman sepanjang bertugas sebagai infantri PPH. Tidak aku kisah nak berhenti Polis atau tukar GD atau tukar cawangan pemandu. Mandat dalam hatiku ialah berbakti selagi kudratku mampu menjana. Syukur kepada Allah.Terima kasih kepada Bn. 1PPH!