Pengalamanku Operasi Tiga dalam Satu (Penglaman menawan komunis)
Masih aku teringat samar-samar operasi yang aku lalui bersama Kompeni C dan seluruh Batalion 1 PPH sekitar tahun 1979 pabila kami diarahkan melaksanakan operasi UKUR, TOPO dan operasi 79Alpha di sempadan Malaysia/Thailand iaitu 3 operasi sekali. Tempat sebenar lokasi operasi aku masih samar-samar di sempadan Malaysia/Thailand tugas UKUR/TOPO dan operasi 79Alpha. Kepada sesiapa yang mengetahui lokasi dan nama operasi sila maklumkan untuk tujuan catatan koleksi sejarah PPH.
Ops Ukur
Mulanya operasi yang kami ditugaskan ialah eskot keselamatan petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan sempadan Malaysia/Thailand. Tugas eskot keselamatan petugas Jabatan Ukur memang meletihkan, sebab disamping menjaga keselamatan kami terpaksa berjalan mendaki bukit batu hanya membantu mencari batu sempadan Malaysia/Thailand. Rasa lega dan hilang rasa penat lelah bila batu sempadan yang di cari dijumpai. Ada yang mengambil kesempatan bergambar di batu sempadan Malaysia/Thailand tapi kami sentiasa waspada kerana dibawah batu sempadan itulah paling popular komunis menanam bom jerangkap samar! Setelah batu sempadan dijumpai kami berpatah balik ke base dan akan di sambung semula tugas yang sama di lokasi lain pada keesokkan harinya tapi di ganti oleh anggota yang lain pula. Entah berapa lama aku bertugas operasi UKUR, aku kurang pasti tapi yang ku ingat Kompeni C diarahkan berpindah ke lokasi lain pula.
Ops TOPO(Tidak pasti nama operasi)
Kali ini base kami dipuncak bukit, tingginya sama paras dengan pucuk pokok balak ditengah hutan belantara. Kerana ketinggian base kami tu minyak masak menjadi beku, tanah base kami sentiasa basah berbecak. Setiap sudut bumbung base tergantung bekas plastik ration untuk tadahan air khusus untuk membasuh sisa makanan. Kabus tebal menyelubungi base sehingga terasa titisan air di muka aku. Air minuman menjadi sukar terpaksa berjimat. Kami terpaksa menuruni bukit selepas sarapan dengan membawa bersama pack lunch dan 3 jerikin dalam pack besar. Mendaki semula ke base waktu dah masuk waktu petang. Kami hanya turun mengambil air 3 hari sekali. Memang tak larat memikul 3 jerikin dalam pack, sebelah tangan 1 jerikin dan sebelah tangan lagi senjata. Bila naik mendaki lutut dah hampir bercantum dengan dagu!! Aduh mak terasa peritnya tika itu..aku terkenangkan ibubapa dan adik-adikku tapi kesusahan yang ku tanggung ini mengajar aku bersyukur nekmat yang aku ada sekarang.
Pagi itu cuaca terang, sejuk dan tidak berkabus. Kami sedang standby menunggu heli membawa kami ke lokasi operasi lain. Sudah 2 hari kami terdengar bunyi heli tapi heli terpaksa berpatah balik kerana kabus terlalu tebal dan sukar membuat pendaratan. Harap-harap hari ini tuah memihak kepada kami. Aku sedang menikmati sarapan pagi kegemaranku..maggie!!. Tiba-tiba sayup-sayup terdengar bunyi heli. Dari jauh aku nampak titik hitam seperti agas terapung-apung..heli dah datang!! Teriak rakan sebelah aku. Lantas aku dan teman-teman yang lain mengemas barang-barang kami. Harap-harap hari ini kami boleh keluar dari tempat ini. Dah tak larat nak memikul jerikin air…tak larat nak intai-intai ular kapak sebelum tidur..!!!
Kami turun di suatu tempat kawasan luas hampir dengan kilang gula. Aku tak berapa ingat nama tempat itu. Mungkin Padang Terap atau Padang Senai Kedah. Aku lihat sudah ada teman-temanku dari kompeni lain berkeliaran di kawasan lapang heli mendarat. Aku jugak dapat melihat ramainya askar-askar di kawasan lapang itu. Kata salah seorang askar itu mereka standby heli bawa mereka masuk Ops Gubir!! Kata mereka kawasan Ops Gubir adalah kawasan yang aktif dengan ancaman komunis dan jerangkap samar! Sama dengan Ops Kota Echo untuk PPH. Suasana di kawasan itu bising dengan bunyi heli-heli yang silih berganti menurunkan penumpang dari anggota PPH, askar dan jugak orang awam. Macam filem perang Vietnam dalam t.v rasanya.
Ops 79Alpha
Aku tidak berapa ingat lokasi tempat ini, yang aku tahu Kompeni aku sedang standby diMartak Army ATM. Malam itu hujan renyai-renyai. Kesibukan suasana diMartak jelas terlihat dengan askar-askar berponco berlari anak menuruti arahan. Lori tentera dan polis saling melintas membawa muatan dan infantry. Aku tersenyum sahaja melihat ‘orang lama’ sedang berborak memujuk petugas di khemah tertulis nama ‘PERNAMA’. Aku dan rakan-rakan sedang standby panggilan ‘general roll-call pukul 2 pagi.
Diluar khemah kami hujan masih turun jelas ku lihat rintik-rintiknya dibawah sinaran deretan mentol lampu di luar khemah. Semboyan general-roll- call berbunyi kami mengambil tempat masing-masing. Apa yang dapat ku dengar arahan yang disampaikan ialah Bn. 1 PPH akan berangkat masuk ke bumi Thailand membantu polis Thailand. Pagi yang berhujan, aku terdengar sorang membaca doa selamat. “ Ya, Allah, ya Tuhan kami, dengan namaMu yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Kau lindungi barisan pasukan keselamatan ini yang akan berangkat bertugas di Thailand, semoga mereka ini selamat pergi dan selamat balik. Aku mengaminkan doa-doa itu tidak ku sedar menitis air mataku seperti titisan air hujan turun pagi itu. Entahkan selamat sepanjang bertugas nanti aku hanya bertawakal pada Allah. Bacaan doa selamat mengakhiri perhimpunan pagi itu. Aku dan rakan-rakan bergegas menaikkan barang-barang kami atas lori. Konvoi Bn. 1 PPH bergerak menuju ke lokasi yang telah diarahkan. Hujan masih lagi turun. Aku dah tak kisah pakaianku lenjun basah yang penting pack aku tidak basah kerna pocho ku gunakan untuk membalut pack. Aku kesujukkan atas lori. Memang terasa sejuk sampai ke tulang terkena angin pulak. Lori terus menyusur laju di malam yang gelap pekat. Aku melihat konvoi lori berpecah masuk jalan simpang. Tidak berapa selepas itu diikuti satu konvoi membelok masuk jalan lain. Cuaca beransur cerah ketika lori membelok masuk jalan ladang getah. Konvoi terakhir terus meluncur melintasi konvoi kami. Keadaan jalan tidak mengizinkan kami duduk kerana kami bagaikan dilambung terhentak kerana jalan tidak rata. Jalan ladang getah semakin sempit dan akhirnya kami terpaksa turun kerna lori tidak mampu mendaki bukit disebabkan jalan licin. Arahan OC Kompeni kami dikehendaki bergerak masuk ke dalam ladang getah sebelum kami berhenti rehat untuk sarapan pagi. Semasa sibuk membuat sarapan pagi aku tak sedar bila masa sekumpulan Polis Thai (Thai Tamrok) bersama kami. Kami teruskan perjalanan melalui trek ladang getah di ketuai oleh Thai Tamrok. Aku melihat sekeliling ladang getah seperti tempat asing bagiku, tidak sama keadaannya seperti ladang getah dikampungku. Akhirnya baru aku sedar yang aku sudah ada dibumi Thailand. Tergelak sinis dalam hatiku sampai jugak aku ke overseas!! Kami berehat lagi seketika di tanah tinggi. Dihadapan aku kawasan lapang dan nun jauh dibawah bukit ada sebuah teratak, tidak ada lagi pokok getah. Penat rasanya memikul pack yang berat padat dan ada ‘treler’ lagi. Dalam pack itu..disitu lah rumah aku, dapur/makanan dan almari/ pakaian aku. Akan terus pikul beban itu kemana juga kaki aku melangkah pergi kerna dah terpaksa! Sedang aku rehat bersandar di pack tiba-tiba aku terdengar jeritan…”Bandit…bandit..jing..jing!!! Aku terpinga-pinga seketika dan sepantas itu jugak aku terdengar letusan dan tembakan rifle dari arah belakangku. Keadaan ketika itu jadi gawat, platun dibelakang terus menembak dan aku yang berada di hadapan terus meniarap ‘take-cover’ sama dengan yang lain...
O. C beri arahan berhenti tembak. Dilapurkan Polis Thai telah terlihat 2 anggota komunis lelaki dan perempuan sedang bercakap dengan orang kampung di pondok kebun. Anggota Polis Thai sudah berada di pondok sedang bercakap dengan penghuni pondok. Aku bersama dengan rakan-rakan terus berkejar menuju ke arah Polis Thai tadi. Rakan-rakan yang lain diarahkan stand-to atas bukit menjaga pack kami.
Kami dimaklumkan oleh Polis Thai 2 orang komunis itu sedang menjalankan misi propaganda seperti mana dikatakan oleh penghuni pondok itu. Penghuni pondok itu menunjuk arah 2 orang komunis lari ke kawasan semak lalang. Sarjan Platun aku mengambil alih tanggungjawab memburu 2 orang komunis. Sarjan memberi taklimat ringkas kepada seksyen komander. Kami dipecahkan dalam kumpulan kecil dan bergerak berjarak dapat dilihat antara kami.
Aku bersama 5 rakanku bergerak menuju ke kawasan kebun. Dihadapan aku hutan lalang. Kami berhenti sebentar. Tiba-tiba aku terdengar jeritan Platun Sarjan memberi arahan..”mara…mara”. Bahuku dipegang oleh koperal ketika kaki aku mula nak bergerak. Katanya itu adalah tektik supaya komunis itu bergerak keluar dari dalam kawasan lalang. Lagi pun tidak selamat masuk dalam semak lalang itu kerna tidak ada perlindungan katanya lagi. Aku akur nasihat itu.
Kami menunggu. Sebentar kemudian kami mula bergerak di tepi kawasan lalang. Aku terjumpa topi(cap) komunis warna kelabu kekuningan ada logo bintang 3 warna merah. Topi itu terselit dicelah-celah batang lalang. Aku lantas mengambilnya dan simpan dalam poket kakiku.
Tiba-tiba terdengar jeritan sarjan….‘Bandit dah keluar! Mara-mara!! Kami lantas berlari ke arah suara itu dan kami bersatu semula disimpang 2 trek. Kami berpecah semula, sarjan bersama yang lain ikut trek kiri dan aku bersama Koperal ikut trek terus ke hadapan. Sambil berjalan sarjan berpesan kepada kami ‘jangan lupa password..cabar password!! Kami terus bergerak laju, dihadapan orang lama(arwah) laju mendahului kami mencari jejak komunis. Ditangannya tergenggam sebutir bom tangan.
Langkah kami terhenti kerna ada sebatang tali air dalamnya sejengkal. Kami perhati sekeliling mengesan tapak kasut komunis. Kesan tapak kasut masih baru kerna tanah becak. Kami perhati sekeliling semak. Tiba-tiba suara orang lama menjerit…‘komunis!! Keluar…keluar..nanti aku baling grenade ini!! Aku berpusing ke belakang, alangkah terkejutnya aku, komunis lelaki itu berada dibelakang aku sedang menyorok dicelah-celah semak samun. Lantas kami take-cover down sambil menghalakan senjata ke arah komunis itu. Komunis itu lantas mencampakkan senjatanya dan berjalan keluar dengan kedua belah tangan diatas kepala. Koperal sepantas kilat meluru dan menangkap komunis tadi dan dibantu segera oleh kami.
Polis Thai datang buat soal jawab. Sambil itu aku melihat orang lama sedang mencari-cari sesuatu ditanah becak berhampiran tali air. ‘Cari apa tu bang’ tanya aku. ‘Pin grenade’ jawabnya ringkas. Tangannya masih lagi erat menggenggam hand grenade. ‘Abang cabut pin bila nampak bandit tadi..tak sedar kat mana abang buang pin.’ Ceritanya sambil mencukil tanah lembik itu. ‘Stand-to la kau malam nanti’ celah koperal. Akhirnya pin hand grenade dijumpai. Kami bawa komunis itu balik semula ke tempat kami berehat tadi.
Hari pun dah petang. Bimbang jugak malam nak sentry komunis, bimbang berplatun komunis lain akan datang. O.C sibuk dalam set melapurkan kejayaan menawan 1 komunis dan meminta bantuan untuk membawa komunis keluar. Aku pula bersibuk wawancara broken english dengan komunis tadi. Rupanya komunis tui adalah seorang pelajar dari universiti Bangkok. Mereka terpengaruh dengan dakyah komunis semasa rusuhan pelajar-pelajar universiti di bandaraya Bangkok suatu ketika dahulu. Mereka di letak di bawah unit propaganda kerna genius mereka! Aku selongkar pack komunis itu, packnya sama dengan beg poncut hitam yang dibekalkan masa di depoh KL.
Di dalam pack itu banyak terdapat risalah-risalah propaganda komunis. Gambar-gambar komunis dalam ‘kem’ menceritakan mereka adalah pasukan yang mampu berkuasa memerintah. Gambar mereka meraikan hari ulang tahun komunis berkawad dengan senjata. Aku mengambil 2 keping gambar untuk kenangan tapi sebelum balik kem Ulu Kinta topi dan 2 keping gambar telah hilang dari simpanan aku! Tidak lama kemudian terdengar bunyi heli datang. Bunyi heli macam bunyi bot tongkang dan aku kenal sangat bunyi itu tandanya heli siam sudah mali. Heli itu ‘hover’ hampir ke lereng tanah dan krewnya memberi signal supaya membawa komunis itu dengan segera.
Lega rasanya bila komunis itu telah diterbangkan. Kami teruskan perjalanan meninggalkan tempat tadi dengan kadar seberapa segera. Walau apapun kami sentiasa berhati-hati bimbang bandit perempuan yang terlepas lari tadi buat counter attack dengan membawa lebih ramai ahlinya menyerang kami. Arah tuju kami ialah C.T Camp ‘Khau Nang Kang’! Kem komunis yang dikhabarkan paling kebal. Kompeni C hanya ditempatkan dipinggir C.T Camp. Sebelum sampai kompeni telah berpecah. Platun aku bersama Polis Thai ditempatkan tidak jauh di bawah bukit yang diatas bukit itu terletak Markas dan unit meriam.
Sebelum masuk ke tapak base Pln Komander beri arahan buat pembersihan terlebih dahulu. Kami buat ‘proding’ setiap langkah memastikan setiap inci tanah dibase, laluan ke water-point dan pondok jamban itu bebas dari bobby-trap! Selepas masing-masing siap buat khemah kami pasang tali parimeter sekeliling sempadan base, siap dengan sermuly flare dan clay more di lokasi yang sesuai. Sementara Polis Thai berkhemah di bawah rumah kosong yang ditinggalkan berhampiran dengan base kami. Sedang kami stand-to malam, Polis Thai pula buat ‘camp-fire’! Ya Allah..apinya besar boleh kenal setiap orang Polis Thai itu. Langsung tak ada disiplin Polis Thai ini. Aku sempat berkenalan dengan seorang Polis Thai berpangkat sarjan. Kumpulan Polis Thai ini tak ada yang berpangkat ‘konstabal atau koperal’. Pangkat Sarjan Mejar 1 orang dan yang lain berpangkat sarjan. Aku tertarik dengan uniform ‘wes moulen’(maaf tak tahu ejaannya) yang ada gambar gajah dan bendera negara Thailand. Kain baju dan seluarnya tebal dan coraknya cantik. Sementara Polis Thai ini berminat dengan uniform hijau aku, katanya dia nak pakai masa meronda masuk kawasan Pattani! Kami buat rondaan jarak dekat sekeliling base kami.
Aku jadi terkejut tiba-tiba terdengar bunyi tembakan meriam dari atas bukit dan dalam beberapa saat tersengar desingan peluru bom melalui atas base kami dan dalam sesaat itu aku terdengar ledakan bom jauh di gunung CT Camp. Tembakan meriam mula bertubi-tubi siang dan malam, dan setiap tembakan dilepaskan bermakna setiap butir meluru meriam melintasi atas base kami. Kekadang jet pejuang(F5E kalau tak silap) kita melintasi atas base kami menggugurkan bom. Kini giliran aku pulak buat rondaan. Kali ini rondaan jarak jauh. Aku tersenyum memandang ‘rakan’ Thai ku turut bersama dalam rondaan pagi ini. Kami sama-sama memberi isyarat janji menukar uniform selepas rondaan nanti. Aku tertarik melihat jam tangan digital yang dia pakai. Masa tu aku belum terjumpa jam jenis digital di Ulu Kinta. Kami pun menambah satu lagi koleksi tukar jam tangan.
Jauh juga kami buat rondaan ikut trek melalui celah-celah hutan. Banyak jugak kami jumpa tanda-tanda komunis seperti riben merah diikat melilit batang pokok. Mungkin itu tanda sempadan. Ada juga kami terjumpa bekas tapak rehat komunis bumbungnya diperbuat dari daun-daun disusun rendah. Kami teruskan rondaan balik semula ke base mengikut trek lain pula. Tiba-tiba aku terdengar bunyi bom meletup dihadapanku. Tanah trek bertabur jatuh dari atas mengenai kepalaku. Aku tidak nampak siapa yang ‘kena’ kerna situasi trek berbelok ke arah kiri dan dilindungi pula pokok-pokok. Kami terus ambil situasi stand-to luar trek. Aku dimaklumkan ‘rakan’ku terkena jerangkap samar. Kecederaannya patah kaki dan cedera parah kedua belah matanya. Hatiku sayu hiba. Walaupun perkenalan kami singkat tapi aku dapat merasai sopan dan baik budi pekertinya. Macam mana boleh ada bobby trap di trek tanahnya keras dan tidak ada tanda-tanda langsung kehadiran bobby trap. ‘Rakan’ aku terus di bawa keluar oleh heli Siam. Sementara rakan-rakan lain yang duduk di bawah rumah malam itu tidak kelihatan ungun api. Sedih agaknya.
Sampai masanya Platun 11 ditukar ganti oleh Bn lain. Pagi itu aku menunggu kedatangan pengganti. Dari jauh di trek sebelah LP terpandang oleh aku anggota PPH berjalan menuju ke arah base kami. Akhirnya setelah selesai taklimat serah menyerah tugas, platun 11 bergerak menuju ke Martak atas bukit. Sampai kami di Martak menunggu lagi platun-platun Kompeni C sampai. Setelah semua platun Kompeni C sampai baru lah Kompeni C bergerak berkonvoi dengan lori terus balik ke Kem PPH Ulu Kinta. Alhamdulillah…!!
terima kasih kerana berkongsi pengalaman
ReplyDeletesalam tuan.....
ReplyDeleteada simpan lagi baju wesmolen tu ke? :)
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKisah2 zaman PPH ni mmg bnyk suka dukanya. Terbaik perkongsiannya boss
ReplyDelete