Monday 5 September 2011

Bukan Mudah Hendak Meluruskan Fakta Sejarah



Generasi Malaysia yang lahir selepas merdeka rata-rata dilanda kecelaruan dan kekeliruan sejarah merdeka yang sangat membingungkan. Apa yang sering dikumandangkan dicorong radio, kaca tv atau mahupun tulisan sejarah yang tertulis dihelaian kertas teks buku sekolah; kemerdekaan tanahair hasil tangan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Putera dan teman-temannya pada 31 Ogos 1957. Maka sejarah kemerdekaan pun bermula dari tanggal tersebut. Maka laungan Merdeka!, Merdeka!, Merdeka sering kita lihat di tv apabila tiba hari sambutan kemerdekaan kita.
                Sebagaimana umum mengetahui, Malaysia (dulu Tanah Melayu) dijajah oleh bangsa Barat selama hampir 500 tahun bermula dari bangsa Portugis menjajah Melaka 1511, dituruti dengan bangsa Belanda dan Inggeris sehingga 1957. Tempoh 500 tahun yang panjang itu, tidakkah ada bangsa kita   melahirkan putera puteri pejuang kemerdekaan?
                Sepanjang bangsa kita dijajah oleh Inggeris, nama-nama pejuang seperti Haji Hassan atau lebih dikenali dengan nama Tok Janggut dari Kelantan, Tok Ku Paloh atau nama betulnya Sayid Abdur Rahman seorang tokoh ulama dari Trengganu, Datuk Bahaman nama asalnya Abdul Rahman bin Imam Noh, Mat Kilau atau nama betulnya Muhammad bin Imam Rasu seorang ahli sufi kedua-duanya dari Pahang, Haji Abdulrahman Limbong nama sebenar Haji Abdul Rahman b. Haji Abdul Hamid tokoh ulama dari Trengganu, Dol Said atau Abdul Said berasal dari daerah Naning Melaka, adalah nama-nama besar yang terlibat dalam penentangan penjajah British. Malangnya tokoh pejuang kemerdekaan ini tidak dinobatkan sebagai tokoh pejuang, mereka tidak ditempatkan diwalayah yang selayaknya sebagai menghargai sumbangan sang perintis kemerdekaan itu. Kenapa? Mengapa? Zalim kah kita bangsa melayu tidak menghargai pengorbanan jasa juang mereka??
                Dan bangsa melayu terus melahirkan tokoh-tokoh berjuangan kemerdekaan. Tahun 40an dan 50an, sederet lagi tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan lahir, seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ahmad Boestaman, Ishak Haji Muhamad (Pak Sako). Mereka inilah sebenarnya yang berjuang bermatian seperti tokoh pejuang terdahulu. Mereka adalah perintis kemerdekaan sejati yang sebahagiannya pernah meringkuk begitu lama dalam penjara Inggeris, bahkan diantaranya ada yang syahid seperti Tok Janggut yang mayatnya tergantung kaki diatas. Zalimnya penjajah British dibantu oleh polis/askar upahan berbangsa punjabi dan melayu sendiri. Kenapa tokoh-tokoh awal yang menyumbang keberanian yang tiada tolok banding ini bagaikan ‘didelete atau dipadam’ dalam sejarah kemerdekaan Malaysia? Apalah dosa-dosa yang telah pejuang-pejuang ini lakukan sehingga nama-nama mereka tersisih dari buku sejarah. Bukankah lebih adil jika nama-nama mereka tercatit dibawah nama-nama besar negarawan Bapak Kemerdekaan Tuanku Abdul Rahman Putera Al Haj dan teman-temannya. Sejarah tetap mengarap nama besar itu, tapi disebalik Tuanku dan teman-temannya, tokoh-tokoh yang disebut itu jangan dipinggirkan, kerana generasi sekarang punya hak untuk mengetahui sejarah kental perjuangan sang pemberani tu dulu, lama sebelum Tunku berperanan.
                Sejarah tetap sejarah dan akan terus kekal sebagai sejarah. Fakta sebenar kejadian sejarah akan tetap terpahat dalam jiwa sang pejuang kemerdekaan untuk menegakkan keadilan ummah. Sama-sama lah kita mempertahankan ‘kemerdekaan’ ini walaupun terpaksa dibayar dengan darah atau nyawa sekalipun. Biar bumi merekah kerana terjahan bom, kami akan terus tetap dengan saf perjuangkan keadilan. Malaysiaku adalah Negaraku dan Islam adalah Agamaku dan ‘Mereka’ adalah Rakan-rakanku.