Monday, 20 February 2012

Tragedi Berdarah Ops Kota Echo

 Sudah 2 hari Kompeni C Bn. 1 PGA standby di Martak Kg Lalang Baling Kedah. Ledakan meriam dari arteleri ATM masih dapat ku dengar jelas. Sasarannya adalah di kawasan Sub-Tak PPH yang telah ditinggalkan sejak lama. Sub-Tak itu lah nanti Kompeni C akan pergi dan akan dijadikan Sub-Tak Kompeni C Bn. 1 PGA. Siang dan malam bunyi ledakan meriam ku dengar sehinggakan bunyinya itu tidak lagi mengganggu kami. Dari cerita kawan-kawan sebab bedilan meriam disasarkan ke arah Sub-Tak itu ialah untuk mengusir komunis dan meletupkan jerangkap samar dalam kawasan Sub-Tak itu. Pagi suasana di Martak sunyi sepi dari bedilan meriam. Arahan dari PP Medan Bn. 1 PPH arahkan Kompeni C segera ke lokasi Sub-Tak. Kami berpusu-pusu menaiki trak polis yang tersedia standby membawa kami nun jauh dihujung kampung. Platun 11 diarahkan berjalan dahulu menuju ke lokasi Sub-Tak. Misinya ialah membersih trek-trek sepanjang 10MSQ ke lokasi Sub-Tak supaya bebas dari jerangkap samar dan juga sebagai cut-off party 4 orang infantri berjarak setiap 50 meter sepanjang laluan trek ke Sub-Tak didalam hutan tebal. Pergerakkan kami terhenti dan dihadapan kami terdapat sebuah titi gantung merentasi sebuah sungai.Melihat dari sudut keselamatan dan muka bumi, titi gantung itu tidak menjaminkan keselamatan kami hendak menyeberangnya. Disingkap semula sejarah lama ramai anggota pasukan keselamatan gugur terkena ambush komunis ketika sedang menyeberangi sungai melalui titi gantung itu. Platun Sarjan arahkan kami berhenti berhampiran titi gantung. Berbincang dgn Pln Komander dan Seksyen Komander cara taktikal yang selamat hendak menyeberang melalui titi gantung itu. Tidak ada laluan lain lagi hanya titi gantung itu saja lah laluan hendak seberang sungai itu. Arahan Martak Kompeni C mesti sampai di Sub-Tak sebelum 1700hrs jika gagal dibimbangi komunis akan masuk semula dan memasang jerangkap samar. Platun Sarjan menoleh kearah aku, memanggil aku dengan isyarat tangan bersama dengan 2 orang anggota platun. Kami diarahkan menyeberang titi gantung. Andainya kami selamat sampai di hujung seberang sana kami dikehendaki buat ‘clearance’ sekitar sebelum memberi isyarat selamat kepada yang lain. Aku orang yang ketiga melalui titi gantung itu. Aku gagahi jua langkahku…memerhati ke hadapan semak dan hutan hujung titi dengan iringan doa semoga aku dan rakanku dihadapan tidak dihujani dengan peluru!! Aku faham situasi ini dan aku terima. Strategi Pln Sarjan biar mati bertiga daripada mati satu platun!! Akhirnya aku sampai jua. Setelah selesai buat ‘clearance’ kami memberi isyarat ‘selamat’ kepada Kompeni C. Aku terus berjalan melalui trek lama dan ada jugak ’buka’ trek baru kerana trek lama sangat meragui keselamatannya. Kami tidak punya masa buat proding. Aku terasa setiap inci bumi yang ku pijak bagai bahang haba, panas!!!, Mataku sesekali melihat ke bawah bimbang kaki ku terpijak benda asing!!! Pergerakkan kami sangat tektikal dan berdisiplin sekali. Saat tika itu sesiapa pun menyerahkan takdir nasibnya kepada Allah SWT agar kedua-dua kakinya terselamat dari tercedera oleh jerangkap samar. Semua anggota Platun memberi kerjasama total demi keselamatan diri. Akhirnya aku sampai jua di lokasi seperti yang diarahkan. Sayu rasanya melihat bekas tapak base yang ditinggalkan amat sedih dan jugak mengerikan. Arahan O.C Kompeni supaya kami membuat ‘clearance’ keselamatan sebelum boleh bergerak bebas dalam tapak base lama itu. Platun 11 dan Plantun 12 diarahkan berpengkalan atas bukit ‘base’ untuk menjaga keselamatan ‘LZ/LP’ sementara Platun 9 dan 10 berpengkalan dibawah base mengawal keselamatan ‘water-point’. Bermulalah tugas kami membuat rondaan jarak dekat dan jarak jauh disamping membuat ‘serangan hendap musuh’ dikawasan sekitar Sub-Tak. Rondaan keselamatan harian wajib bagi kami. Semasa membuat rondaan aku terpandang sebuah base lama telah ditinggalkan lama dulu. Kedudukan base itu ialah dibawah kaki lereng bukit. Seksyen Komander memaklumkan kepada kami itu adalah bekas base PPH yang telah diserang hendap oleh komunis. Ramai rakan-rakan PPH terkorban termasuk Pln Komandernya dibunuh dengan kejam! Pagi esoknya kami bersiap sedia buat ronda jarak dekat membantu Platun 12 yang telah keluar buat rondaan jarak jauh sejak semalam.Aku bersama 7 orang rakan mengiringi Platun Sarjan melangkah keluar dari Sub-Tak menuju ke lokasi Platun 12. Misi kami adalah sebagai pasukan back-up kepada Plantun 12 dalam kedudukkan hampir 1 MSQ. Hari dah masuk petang. Platun Sarjan arahkan kami berehat untuk persiapan makan petang dan mendirikan base tidur. Aku mengambil giliran sentri pertama sementara rakan-rakanku sibuk membuat persiapan. Setengah jam kemudian aku diganti dan terus saja aku memasang khemah tidur ‘ground-base’ tinggi khemahnya pada paras peha sama dengan rakan-rakanku. Tujuannya supaya tidak mudah dilihat oleh musuh. Makan malam kami hanya biskut ration dan air teh sejuk dalam water-bottle. Sangat merbahaya menyalakan api memasak dan bau masakan boleh dihidu oleh musuh. Kami mula masuk tempat stand-to walaupun jam tika itu baru 1730h. Tiba-tiba rakanku memberi isyarat stand-down dan segera berkemas balik ke Sub-Tak. Arahan O.C kompeni memanggil kami balik kerana Platun 12 telah balik ke Martak kerana eskot Platun Komander yang ayahnya telah meninggal dunia. Esok paginya sedang aku bersarapan tiba-tiba aku terdengar suara berteriak ‘Bandit, bandit..!!! datangnya dari arah hutan yang kami tinggalkan semalam. Diikuti bunyi tembakan rifle bertubi-tubi. Kami yang sedang bersarapan lantas mencapai senjata dan mengambil kedudukan stand-to. Bunyi tembakan masih kedengaran, aku terdengar dengan jelas suara bahasa cina menjerit..(terjemah dalam bahasa melayu..1..2..lari!!!) suara itu berulang tiga kali. Pertempuran hebat masih berlaku, tembakan rifle m16, letupan bom tangan, jerangkap samar’ mengisi suasana kesunyian pagi tu..memang hebat..aku lantas terfikit..hanya mereka yang miliki ilmu peperangan dan punyai disiplin mampu bertahan dan menang dalam pertempuran ini. Suara ‘mara…mara…’ dari rakan-rakan yang sedang bertempur itu jelas ku dengar..semangatku serta rakan-rakan tiba-tiba naik. Kami meminta izin membantu tapi dihalang oleh Platun Sarjan kerana dalam situasi begini bimbang kehadiran kami disalah anggap oleh rakan-rakan disana sebagai musuh! Bedilan senjata M16 dan ledakan bom tangan masih lagi kedengaran. Jeritan ‘mara..mara….’ dari semua rakan-rakan disana menyakinkan kami pertempuran ini memihak kepada pasukan PPH!!! Kemudian suasana menjadi sepi, kami menunggu dengan hati yang berdebar. Aku memandang ke langit memohon doa semoga semua rakan-rakanku yang sedang bertempur di sana terselamat. Setengah jam kami stand-to menunggu akhirnya arahan dari O.C Kompeni mengarahkan Platun 11 pergi ke lokasi pertempuran memberi bantuan. Kami dimaklumkan semua rakan-rakan Platun 12 terselamat. Menitis air mataku kerana gembira. Kami pun melangkah keluar menuju ke lokasi Platun 12. Kami mendaki lereng bukit melalui trek yang kami lalu semalam. Kemudian kami terdengar suara rakan-rakan dari Platun 12 menyambut ketibaan kami dalam jarak 20 meter. Ada suara yang meminta kami mengambil jalan trek di lereng bukit, jangan lalu ikut permatang. Tiba-tiba aku terdengar bunyi letupan bom yang sangat kuat! Jerangkap Samar sudah ‘menuntut’ mangsanya yang pertama!! Kami terdiam seketika. Kami berbisik sesama sendiri meneka siapa yang terkena!! Platun Sarjan 11 sudah terkena jerangkap samar!! Ya Allah..luruh seluruh semangatku..perasaan sedih terpamir dalam wajah kami. Aku yang berada di kedudukan belakang mara segera memberi bantuan. Aku melihat kaki sarjanku luka parah. Bau hanyir darah menusuk dalam hidung aku. Kami segera memotong dahan kayu untuk jadikan batang strecher, anggota Platun 12 menghulurkan hammock. Segala gerak kerja kami tadi dilakukan dengan penuh hati-hati supaya tidak ada lagi yang terkena jerangkap samar. Platun Sarjan yang tercedera tadi dibaringkan atas strecher lantas segera dibawa keluar ke Sub-Tak untuk diterbang ke hospital. Aku bersama rakan-rakan yang lain ditugaskan membuat pembersihan kawasan pertempuran.Jelas sekali lokasi pertempuran tadi benar-benar berlaku diatas tapak khemah kami semalam! Kami terjumpa setiap pangkal pokok tertanam bom jerangkap samar yang boleh diletupkan dari jarak jauh. Strategi komunis ialah akan membuat ambush terhadap kami. Komunis hanya perlu melepaskan tembakan rambang dan pastinya kami akan mara dan mengambil perlindungan disebalik pangkal pokok. Bayangkan lah apa yang bakal terjadi pada tubuh kami?? Bertuahnya kami mempunyai OC Kompeni yang beramal soleh tentu mempunyai firasat terbaik untuk anggota bawahannya.Ceritanya begini..semasa Platun 12 keluar eskot Platun Komander, kekosongan base Platun 12 segera diambil alih oleh kumpulan komunis. Masa kami sedang membuat persiapan bermalam, komunis pula sibuk memasang bom jerangkap samar. Mereka hanya menunggu mentari terbit untuk ‘ambush’ kami. Tapi dengan kuasa Allah kami telah keluar dari lokasi pada petang itu. Pergerakan kami keluar tidak diketahui oleh musuh komunis. Esok paginya sedang asyik komunis memerhati kedudukan kami tiba-tiba muncul anggota Platun 12 dari belakang. Anggota rikki terpandang seorang komunis yang asyik memandang ke hadapan langsung tidak menyedari kehadiran anggota Platun 12 dibelakangnya. Maka bermula lah pertempuran dengan jeritan pertama ‘bandit…bandit’!! Ini adalah antara kisah dan pengalaman sepanjang bertugas sebagai infantri PPH. Tidak aku kisah nak berhenti Polis atau tukar GD atau tukar cawangan pemandu. Mandat dalam hatiku ialah berbakti selagi kudratku mampu menjana. Syukur kepada Allah.Terima kasih kepada Bn. 1PPH!

No comments:

Post a Comment