Monday, 20 February 2012
Kursus Asas PPH di Ulu Kinta Perak
Tren Express dari Kuala Lumpur singgah di stesyen Tanjung Rambutan. Aku bersama skuad 5/78 seramai 48 orang turun dengan beg dan barang-barang kami. Di seberang jalan sudah beratur 4 kenderaan lori polis menunggu kami. Tidak ramai ahli skuad saya kerana sejak lapor di Dewan Pengaman PULAPOL Kuala Lumpur pada 17/7/1978 sudah ramai yang menarik diri pabila dimaklumkan pengambilan pelatih kali ini adalah untuk cawangan PPH, malah siap dibahagikan Bn-Bn Lagi. Ada juga kedengaran cakap-cakap jurulatih menakut-nakutkan kami akan ancaman komunis tapi itu tidak melunturkan semangat kami. Kenderaan lori sampai dihadapan Drill Shed Markas PPH Ulu Kinta Perak.Kami diarahkan menyusun 'double decker' mengikut jumlah keperluan kami. Nama aku didaftarkan dalam Bn. 1 PPH bersama 24 pelatih dan 24 pelatih lagi untuk Bn. 2 PPH. Walaupun sudah menjadi anggota Bn. 1 dan 2 PPH tapi kami 'disimpan' sementara didalam Drill Shed selama hampir 3 bulan lamanya kerana kami belum ada 'lesen' sebagai seorang anggota infantri sebab belum hadir kursus asas PPH. Sedangkan waktu itu tugas PPH amat mencabar menghadapi cabaran ancaman komunis. Selain itu SLPPH paling sibuk menjalankan kursus asas PPH untuk pelatih pegawai/anggota regular dan jugak untuk pelatih senoi praq. Pagi siang dan malam suasana riuh rendah bising datang dari pelatih-pelatih yang sentiasa bergerak berlari anak menjalankan aktiviti masing-masing.Suara para jurulatih sentiasa segar dan keras memberi arahan kepada pelatih sendiketnya(platun). Tidak nampak pulak pelatih senoi praq di sekitar drill shed itu kerna aku ingin sendiri melihat orang asli.Khabarnya waktu itu sedang menjalani latihan luar di Pasir Panjang dan khabarnya jugak kami akan ke sana tidak berapa lama selepas ini untuk menjadi 'sentry' kawasan latihan di Pasir Panjang. Selama tempoh hampir 3 bulan kami berpindah randah dari drill shed 1 ke drill shed 2 bagitu lah sebaliknya kami disajikan pelbagai latihan (bukan asas PPH). Latihan larian 2.4 ke bukit rumah komander dan mess pegawai kanan adalah sebagai sarapan pagi kami tiap-tiap pagi. Selain itu latihan merentas desa, pikul kayu balak, rentas halangan, menembak senjata ringan dan berat, enoklasi, jalan lasak, shoot to kill dan lain-lain latihan semuanya kami lakukan dengan jayanya. Tidak hairan lah apabila skuad 5/78 bercantum semula di SLPPH untuk menjalanlan kursus asas PPH, sendiket kami mendapat keputusan yang terbaik dan ia menjadi topik 'goreng pisang panas' oleh para jurulatih. Hari ini aku menghitung hari untuk bersara pilihan sendiri.Aku akan bersara pada 28/3/2012. Hampir 34 tahun aku dalam Bn. 1 PPH/PGA. Segala pengalaman manis pahit, baik buruk menjadi asam garam dalam hidupku.Terima kasih kepada semua para jurulatih SLPPH termasuk Komandan serta staff yang telah mendidik aku menjadi seorang pelatih yang berdedikasi, aku dengan rasa terharu mengucapkan terima kasih jugak kepada C.O/O.C/Pegawai/JPO serta rakan-rakan(orang lama) Bn. 1 PPH yang telah menunjuk ajar pantang larang sepanjang bertugas dalam operasi sehingga aku dengan izin Allah SWT terselamat dari semua musibah dalam operasi. Masih aku ingat, sarjan aku cedera parah kakinya terkena jerangkap samar, masih aku ingat platun aku hampir termasuk dalam ambush komunis, tidak lupa aku bersama rakan-rakan bertempur dan menawan seorang komunis dibumi Siam, masih terbayang jelas sahabat aku 'Thai Tamrut' terkena jerangkap samar dihadapan aku dan masih aku tidak lupa berjalan gersang merendah hutan berbukit bukau dan kuyup di lembah sungai berbatu jauhnya berpuluh MSQ di bulan Ramadan hanya kerana mahu pulang berhari raya di kampung. Aku rindu semuanya itu dan akan terus merindui suasana itu selepas aku bersara kelak kerna aku lebih rela bertugas beroperasi di hutan berbulan walaupun ada ancaman keselamatan. Terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Seronok baca blog ni... sangat2 mencabar... ayah saya masa masuk hutan lps jalani asas polis hutan ... beliau prnh critakan pasal komunis.. nmpk komunis bejln dlm hutan beramai2...ayah saya kata komunis pandai guna trick dgn adakan komunis pompuan "amoi" katanya.. so bila nmpk amoi so tak jadi rasa bk shoot to kill... n by this trick diorng shoot balik... lps tu ayah sgt disukai dik org asli sbb beliau kulit hitam n rambut kerinting dh mcm org asli...tu lh kisah ayh saya.. sekrng beliau dah pencen wajib pda thn 2014.. ayah saya start thn 1977...
ReplyDeleteAyah saya , Saaid b Saad ...pencen srjn... brgkali encik rahim kenal...saya pun agak saja.
ReplyDelete